Total Pageviews

Monday, February 18, 2013

Karier Jurutera Kehidupan

KARIER SEBAGAI JURUTERA KEHIDUPAN

Selama lebih 3 tahun menempuh alam pekerjaan, banyak liku-liku pahit manis jerih perih ketika melaksanakan tugas sebagai seorang Jurutera. Bermula selepas bergraduat dari salah sebuah universiti tempatan, seterusnya melakukan kerja-kerja sebagai Eksekutif Jualan dan Pemasaran di sebuah syarikat pemasaran terkemuka antarabangsa selama 3 bulan dan kemudian melaporkan  diri setelah dipanggil untuk memikul amanah dan tanggungjawab sebagai seorang Jurutera di Bahagian Pemasangan Pelantar Luar Pesisir Pantai dalam sektor minyak dan gas. Ternyata seawal menerima amanah ini, penulis tahu bahawa kerjaya ini tidak semudah yang disangka. Sebut sahaja “offshore” atau luar pantai pastinya ramai akan teruja akan kemasyhuran nama ini. Namun pasti tidak ramai yang memikirkan apakah risiko-risiko yang bakal dihadapi bagi semua yang meminati dan berkecimpung dalam bidang ini.

Bila bercakap soal risiko, siapa yang boleh katakan kerja yang tiada risiko? Semua pekerjaan adalah berisiko. Cuma perbezaannya adalah antara risiko rendah, risiko sederhana, risiko tinggi, risiko amat tinggi dan sebagainya. Namun harus diingat bahawa setiap risiko mampu kita kawal dengan mengira nilai risiko terkira “calculated risk”. Ingatlah bahawa setiap masalah, ujian, atau bebanan yang kita hadapi adalah daripada Allah swt sebagai tanda komunikasi Allah kepada hambanya, usah mengeluh, hadapi sahaja ujian itu dengan tabah dan sabar kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Firman Allah swt.
“Aku tidak akan membebani seseorang itu dengan apa yang dia tidak termampu”.

Ayat ini menjelaskan bahawa setiap ujian dan bebanan yang menimpa kita adalah satu rahmat dan Allah tahu bahawa kita mampu menanggung apa jua ujian yang DIA berikan pada kita. Ujian itu satu proses peningkatan diri, tanpa masalah atau ujian yang melanda, kehidupan kita akan suram umpama tanpanya rencah dalam masakan yang perlu ada pahit, manis, masam, masin yang perlu sentiasa diimbangkan agar menjadi sebati dalam menghasilkan masakan yang sedap untuk disantap. Penulis pasti semua pernah merasa masakan yang tawar tanpa ada masin, dan manisnya. Ibarat hidangan untuk pesakit di hospital yang senantiasa tawar. Begitu juga jika diaplikasikan dalam kehidupan kita, akan kosong warna-warna kehidupan tanpa seri yang perlu ada. Selain itu juga, ujian ini Allah berikan pada hamba-hambanya sebagai satu proses peningkatan iman.
Firman Allah swt.
“Adakah kamu menyangka kamu beriman, sedangkan kamu belum diuji”

Ujian sebagai satu proses peningkatan iman kerana andai kita sentiasa memegang tali Allah kita akan sentiasa mendapat bantuan daripada Allah swt dalam menyelesaikan dan memudahkan setiap apa jua perkara yang kita lakukan sehari-harian.

Ingin saya singkap kembali peristiwa di zaman universiti dahulu, betapa susah dan perit dalam mengejar cita-cita. Penulis sedar bahawa kebanyakan masalah orang melayu dan anak-anak melayu adalah dari sudut penguasaan Bahasa Inggeris yang merupakan Bahasa Antarabangsa dan Bahasa Kedua dalam medium komunikasi tidak kira di alam universiti hatta di alam pekerjaan. Tanpa penguasaan di dalam Bahasa ini, sudah pasti akan keciciran dalam persaingan sihat antara manusia. Sehingga ramai yang berkata “ Without English, you will not survive anywhere – anonymous”. Tidak ketinggalan juga adalah diri penulis sendiri. Berbekalkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang hanya cukup-cukup makan, penulis menyambung pelajaran selama setahun di Matrikulasi di bawah Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan. Kemudian menyambung pelajaran di sebuah universiti tempatan dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Penguasaan Bahasa Inggeris penulis yang amat lemah menyukarkan proses pembelajaran dalam kelas dan menyebabkan penulis pernah berasa putus asa akibat sering ketinggalan di dalam kelas berbanding pelajar-pelajar lain yang sememangnya mahir berbahasa inggeris hasil didikan sejak dari kecil oleh ibu bapa sendiri.

Mengimbau kembali kenangan ketika bersama-sama 2 orang rakan sewaktu zaman sekolah menengah, kami bertiga sama-sama menghadiri sesi temuduga kemasukan ke universiti tersebut. Bertiga menaiki bas dari Puduraya, Kuala Lumpur dan menginap selama 2 malam di asrama Universiti. Penulis ingat lagi betapa susahnya ujian temuduga yang diadakan secara 3 peringkat. Peringkat pertama secara berkumpulan harus berbincang dan berdiskusi atas satu soalan masalah yang diberi. Penulis terpaksa bertahan dengan hujah-hujah penulis ketika melontarkan pandangan namun agak kekok dari segi penyampaian sehingga penulis kerap kali melihat rakan lain dalam kumpulan berkerut-kerut dahi dalam memahami maksud yang ingin penulis sampaikan. Dalam hati penulis hanya berkata, “Biar Broken English sekalipun, idea haru s dilontarkan, dan harus tampak keyakinan dalam percakapan dan dalam menegakkan hujah”. Kemudian masuk sesi temuduga individu yang meminta penulis memperkenalkan diri dan seterusnya harus menceritakan latar belakang, pendidikan, minat dan sebagainya sebelum diajukan soalan-soalan mencabar minda yang lain.  Penulis masih ingat lagi betapa payahnya berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris sehingga penemuduga berkenaan menyatakan bahawa boleh bercakap dalam dwibahasa andai tidak selesa. Alhamdulillah sesi temuduga tersebut berjalan dengan baik dan bertandang dalam hati keyakinan padu yang penulis akan dipanggil belajar di universiti tersebut. Rezeki kurniaan Allah, penulis diterima masuk untuk menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan yang memang menjadi cita-cita sejak dari UPSR lagi.

Bermulalah kehidupan sebagai seorang mahasiswa yang sememangnya mengundang pelbagai bentuk ujian dan cabaran. Tanpa ilmu dan iman yang kuat yang menjadi benteng diri, pasti bisikan syaitan akan menerobos dalam diri dan menguasai lubuk pemikiran hati sanubari kita. Mahasiswa sedikit sebanyak satu gelaran baru bagi diri penulis banyak merubah peribadi, tingkahlaku dan sikap daripada seorang yang banyak bergantung kepada orang lain kepada individu yang lebih bebas berdikari dengan usaha sendiri. Kematangan adalah satu aspek yang amat penting kerana di alam universiti ini ianya amat banyak membentuk semua mahasiswa menjadi seseorang yang mampu membuat keputusan sendiri, lebih berani untuk mengambil apa jua risiko dalam sesuatu perkara, lebih berkeyakinan dan mampu menjalankan apa jua tugasan andai disiplin menjadi tonggak pemanduan ke arah matlamat yang telah ditetapkan. Antara cabaran yang penulis hadapi adalah medium perantaraan yang menjadi medium utama dalam pembelajaran kuliah di dalam kelas dan sebagainya iaitu Bahasa Inggeris. Penulis akui bahawa penulis amat lemah berbahasa inggeris kerana sedari kecil dan sekolah rendah, penulis kurang berminat dengan Bahasa Inggeris kerana cikgu ketika itu amat garang, namun ia baik dengan bangsa yang lain kerana ia berketurunan India. Agak cenderung guru ini kepada murid-murid yang lain terutama yang berbangsa Cina dan India kerana mereka kebanyakannya sudah mahir dan fasih berbahasa Inggeris akibat didikan komunikasi di rumah. Tidak seperti anak-anak melayu yang daripada keluarga susah dan sederhana kebanyakan mereka memang amat susah untuk menguasai bahasa ini pada peringkat awalnya namun sedikit demi sedikit akan dapat menguasai pabila muncul kesedaran dalam diri disuntik dengan faktor tekanan, dorongan dan sebagainya.

Alam pekerjaan semestinya memerlukan kemahiran interpersonal yang tinggi. Ini kerana kita sentiasa perlu bekerja dalam satu pasukan dan seringkali memerlukan penggunaan idea-idea dan pandangan yang bernas dalam menyelesaikan sesuatu kerja. Tanpa kemahiran interpersonal yang tinggi sudah pasti setiap kerja atau tugasan yang diberikan tidak mampu dilaksanakan dengan jaya dan lancar serta hasil akhirnya pasti tidak menemui sasaran dan matlamat sebenar sesebuah organisasi. Nilai kembali diri kita, adakah kita sudah cukup bersedia menempuh alam pekerjaan?
Keputusan akademik yang baik hanya untuk menempatkan diri kita di dalam sesi temuduga untuk perkadiran, kemudian setelah kelulusan temuduga adalah tiket untuk menempatkan kita di dalam organisasi. Namun tiket ini tidak semestinya akan membawa kita ke tempat yang betul-betul kita sukai, dan kadangkala apa yang kita suka atau minat tidak akan semestinya kita dapat, jadi cara terbaik adalah dengan memupuk di dalam hati sanbuari semangat cintakan apa yang kita tidak suka.
Pepatah Inggeris ada menyebut “What You Hate could be the Most Valuable To You”. Jadi sentiasa beringat dan terapkan di dalam kehidupan seharian semangat menyintai apa sahaja perkara dalam kehidupan sama ada yang kita suka atau benci. Hadapinya dengan penuh ketabahan dan keyakinan bahawa setiap perkara itu ada perancangan dan perancangan yang terbaik adalah dari Allah swt kerana Allah swt adalah Maha Sebaik-baik Perancang.
Selain daripada itu, setiap ketakutan perlu kita tangani dan hadapi dengan baik. Ini kerana ketakutan dan kebimbangan ke atas sesuatu perkara itu adalah perkara normal, dan berlaku kepada semua insan. Cuma cara menghadapinya adalah berbeza bagi tiap-tiap individu. Perkara yang dihadapi akan dapat diselesaikan samada mudah atau susah bergantung kepada cara kita berhadapan dengan perkara atau situasi tersebut. Sentiasa tanamkan dalam jiwa dan pemikiran, tanpa berhadapan dengan masalah tidak mampu akan melahirkan kematangan dan kebolehupayaan dalam diri.
Contohnya, katakan perkara masalah yang anda hadapi itu amat berat jika anda fikirkan, dan tanpa panduan yang jelas sudah pasti tidak sesiapa akan mampu menghadapinya. Anda mengambil jalan mudah, tidak mahu berhadapan dengan masalah dan situasi itu malahan cuba lari daripada berhadapan dengan masalah tersebut. Anda harus ingat, masalah itu tidak akan selesai sampai bila-bila tanpa anda selesaikan, malah mungkin akan bertambah rumit dan kompleks sehingga mungkin suatu hari nanti akan menjadi tidak terkawal oleh kotak pemikiran anda.  Katakan, penulis berhadapan dengan masalah pinjaman bank, berhutang kredit kad dan sudah tidak membayar selama beberapa bulan. Penulis mempunyai 2 pilihan samada terus lari daripada pihak bank, atau membayar pinjaman dan hutang tersebut. Katakan penulis tidak mempunyai kewangan yang mencukupi menyebabkan hutang itu tertangguh berbulan-bulan. Adakah sudah berakhir hidup penulis atau cara untuk menyelesaikannya? Masih ada banyak cara andai penulis mengambil pendekatan untuk berbincang dengan yang lebih arif dan pakar untuk menyelesaikan masalah ini. Namun, jika penulis mengambil pendekatan untuk lari daripada bank dan masalah ini, sampai bila-bila bank akan terus mencari penulis dan kemungkinan akan mengisytiharkan muflis kepada penulis. Maka ketika itu keadaan akan menjadi semakin tidak terkawal. Mungkin akan mengundang kepada masalah-masalah lain seperti hubungan antara suami isteri, kekeluargaan, fokus kerjaya dan sebagainya.  Jadi konklusinya hadapi sahaja apa jua masalah yang anda tempuhi. Ingat! Lari daripada masalah adalah tindakan yang kurang cerdik. Belajarlah untuk menyukai apa jua perkara dalam kehidupan anda, samada ianya membawa masalah, ataupun tidak.

Perjalanan kerjaya atau karier seseorang individu bergantung kepada banyak faktor yang perlu dititikberatkan.  Namun perkara atau elemen yang paling penting adalah “MINDSET & BEHAVIOUR”, perkara paling utama yang perlu ada pada diri seseorang individu dalam mengejar matlamat dan impian dalam sesebuah kerjaya dan perjalanan hidup. Tanpa perkara penting ini, setiap perancangan mungkin akan terbantut di tengah jalan. Tetapan Minda dan tingkahlaku perlu sentiasa betul dalam memandu diri ke arah matlamat dan tujuan. Banyak perkara yang membantu tetapan minda dan tingkahlaku ini, antara tetapan minda yang perlu sentiasa dipatri adalah tetapan minda yang sentiasa berfikiran positif, sentiasa berkeyakinan, sentiasa mendisiplinkan diri dalam apa jua perkara, tepati masa, motivasi diri, keberanian, akhlak yang baik dan sebagainya.  Cuba renungi lirik lagu ini,

Jika kau fikirkan kau boleh,
Kau pasti boleh melakukan,
Jika kau fikirkan ragu-ragu usahamu tidak menentu,
Jika Kau fikirkan kekalahan,
Kau Hampiri kegagalan,
Jika Kaku fikirkan kemenangan,
Kau hampiri kejayaan
Engkaulah apa kau fikirkan,
Bergantung dalam pemikiran,
Berfikir boleh melakukan,
Fikirkan boleh,
Percaya apa kau lakukan,
Tabah apa kau usahakan,
Bertindak atas kemampuan,
Engkau boleh. (Nyanyian asal Allahyarham Sudirman Hj Arshad)Banyak intipati dan moral yang boleh diambil daripada lirik lagu ini. Bila sahaja apa jua perlawanan bermula, samada Perlawanan Badminton, Bola Sepak dan sebagainya pasti lagu ini akan kedengaran dan terpampang di dada-dada Televisyen hatta di rumah dan di merata tempat. Lagu ini amat menyuntik semangat dan keyakinan kerana pada pendapat penulis lagu ini bukan sahaja digarap dengan lirik yang menarik dan sesuai tetapi juga kekuatan penyanyinya sendiri yang berjaya membawa dan menghidupkan jiwa di dalam lagu ini. Pasti bila sahaja lagu ini dinyanyikan, semangat akan terpancar dan mula membakar di dalam diri. Ingin penulis kaitkan dengan perjalanan karier penulis sepanjang 3 tahun bermula 2009, dimana setelah bergraduat dalam bidang kejuruteraan mekanikal pengkhususan dalam petroleum, penulis diterima untuk bertugas sebagai seorang Jurutera Pemasangan Luar Pesisir Pantai. Di sinilah bermula karier penulis sebagai seorang Jurutera. Pada awal permulaan karier banyak dugaan dan cabaran yang terpaksa ditempuhi akibat kekurangan kemahiran Komunikasi dalam Bahasa Inggeris. Kekurangan ini yang menyebabkan kadangkala penulis berasa kurang motivasi ditambah perasaan segan dan malu yang tidak bertempat dalam bertanyakan soalan dan sebagainya. Namun, sedikit demi sedikit dengan keyakinan dan semangat yang sentiasa dipupuk, penulis berjaya membawa karier dari satu tahap ke satu tahap yang lebih baik. Ingatlah bahawa, tidak semestinya perkara yang kita tidak mahir atau tidak kita ketahui itu amat rumit untuk dipelajari, andai susah sekalipun ia masih boleh dituntut asalkan disertakan dengan kesabaran dan keazaman yang tinggi.

Selain daripada itu, pertama kali ketika bertugas di luar kawasan luar pantai (offshore), membuatkan penulis agak teruja dan seronok untuk menimba pengalaman baru. Bayangkan menaiki bot penumpang yang mampu memuatkan kira-kira 40 penumpang dalam satu masa, tetap akan memberikan pengalaman yang pasti diingati sampai bila-bila terutamanya ketika cuaca atau musim tengkujuh di mana ombak beralun dan arus deras. Pastinya semua di dalam bot akan terbuai-buai dihayun ombak sehingga akan memuntahkan apa sahaja yang ada dalam perut. Habis keluar isi perut penulis sehingga akhirnya tinggal angin sahaja yang melalui rongga pernafasan akibat tiada apa lagi yang boleh dikeluarkan. Sehingga ke tahap begitu sekali. Namun semua itu tidak mematahkan semangat penulis, perkara baru dalam hidup adalah ilmu dan pengalaman yang pasti  akan digunakan pada masa hadapan kelak.
Tanpa keberanian, sudah tentu tidak akan ada siapa yang berani menempuh ribut dan badai di tengah lautan demi memastikan kerja-kerja Pembangunan Lapangan minyak berjaya dilaksanakan. Dengan skop tugasan yang mencabar, sudah tentu sedikit sebanyak membuatkan semangat menjadi risau dan gundah gulana takut-takut tidak mampu menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan baik. Alhamdulillah, berbekalkan semangat berpasukan yang tinggi, walaupun cetek ilmu dan tidak tahu apa-apa pasal dunia minyak dan gas, penulis serba sedikit belajar secara tidak formal dengan jurutera-jurutera dan krew-krew kapal yang lebih pengalaman dan banyak ilmu di dalam bidang yang penulis ceburi. Memang mencabar tugasan di offshore kerana ia memerlukan pengorbanan yang tinggi, berpisah dengan insan dan keluarga tersayang, terpaksa mengorbankan hidup di alam daratan dan menghadap lautan sehari-hari, melakukan aktiviti yang sama setiap hari tanpa ada perkara lain yang boleh dilakukan kerana terhad di atas kapal pemasangan sahaja.

Thursday, January 31, 2013

TRAVELOG SEORANG JURUTERA: IBADAH


IBADAH: PENYERAHAN DIRI KEPADA ALLAH SWT

Bila bekerjaya, tidak semestinya tiada langsung istilah ibadah dalam kehidupan kita sehari-harian sebagai pekerja, majikan, tuan, pengurus, kerani dan sebagainya dalam kehidupan kerjaya kita. Siapa kata Pekerjaan itu bukan ibadah? Kerja juga adalah satu bentuk ibadah, tidak kira anda bekerja sebagai jurutera, doktor, peguam, pegawai kerajaan, kerani, pemandu, pekerja kilang hatta tukang kebun sekalipun itu semua adalah ibadah yang merupakan suruhan dan tuntutan Allah swt. Ini kerana pekerjaan juga adalah satu bentuk tanggungjawab dan peranan kita dalam menyumbang dari segi tenaga, idea, buah fikiran, masa dan sebagainya. Penulis ingin memetik satu kisah Imam Ghazali yang bertanyakan kepada anak-anak muridnya. Banyak yang ditanya, dan salah satu di antaranya adalah berkisarkan amanah.
“Wahai anak-anak muridku sekalian, apakah yang paling berat di dalam dunia ini?
Ada anak muridnya menjawab Gajah, Dinosaur, Gunung, bukit dan sebagainya. Imam Ghazali menjawab: Benar semua anak-anakku, kalian tidak salah sama sekali. Namun kalian harus sentiasa ingat, yang paling berat adalah amanah”.
Jika kita kaji dan selidiki maksud tersebut amanah ini bukan sahaja meliputi kepercayaan dalam menyimpan rahsia, aib, cerita orang dan sebagainya, namun juga tertumpu di dalam aspek pekerjaan yang juga merupakan satu bentuk ibadah. Bila digabungkan pekerjaan yang kita lakukan adalah amanah yang dipertanggungjawabkan oleh majikan kepada kita. Bukan mudah memikul amanah dan tanggungjawab sebagai pekerja dan tidak susah untuk kita menjaga andai kena dan betul cara-cara dan panduannya. Seorang pekerja yang amanah lebih disayangi dan disenangi oleh majikan dan rakan-rakan sekerja berbanding pekerja yang kurang menjaga amanah. Amanah di dalam konteks pekerjaan bukan hanya tertumpu kepada aspek rahsia syarikat, strategi pemasaran dan objektif syarikat, cara persaingan syarikat dan sebagainya, namun ia juga tertumpu kepada aspek-aspek individu itu sebagai seorang pekerja itu sendiri daripada segi aspek pengurusan masa, etika kerja, pergaulan antara rakan-rakan sekerja dan majikan, aspek tingkah laku dan keperibadian sebagai seorang pekerja dan sebagainya. Jika kita meneliti aspek-aspek tersebut seorang pekerja yang amanah tidak akan culas dalam membuat kerja, tidak akan mengular ketika dalam waktu kerja, tidak akan melakukan kerja lain di luar bidang yang ditugaskan oleh majikan dan syarikat kepadanya, dan sentiasa akan menjaga etika-etika dan tatasusila sebagai seorang pekerja. Jika diperincikan lagi, banyak lagi sub-aspek yang boleh dipertimbangkan dalam konteks amanah dalam pekerjaan seperti patuh undang-undang dan polisi syarikat, mematuhi segala arahan dan suruhan yang dipertanggungjawabkan, etika pemakaian korporat mengikut bidang kerja  dan sebagainya. Semua ini merupakan amanah yang patut dipikul sebagai seorang pekerja.
Apa pula amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita sebagai Hamba Allah swt yang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian seperti Firman Allah swt.
“Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian”

Sebagai hubung kait antara ibadah dan kerjaya, perkara yang menghubungkannya adalah kefahaman tentang amanah. Semua ini berkaitan antara kerjaya, ibadah dan amanah. Suka untuk saya perjelaskan di sini bahawa ibadah bukan hanya bermaksud anda beriktikaf sepanjang hari di masjid atau surau, sehingga meninggalkan pekerjaan anda yang anda buat sekarang. Bukan bermaksud tidak lengkap ibadah andai hanya menjalankan amanah. Apa yang anda lakukan sebagai memenuhi amanah orang lain akan membawa kepada penyerahan diri kepada Allah swt.
Sepertimana maksud ISLAM itu sendiri dari segi bahasa Islam bermaksud selamat dan sejahtera dan daripada segi syarak pula Islam bermaksud penyerahan diri dan jiwa kepada Allah swt. Dengan berasa selamat dan sejahtera dalam pekerjaan, anda sudah menepati ciri-ciri ibadah dalam pekerjaan. Anda beribadah kepada Allah dengan cara menyerahkan diri kepada Allah swt begitu juga penyerahan diri kepada pekerjaan yang dilakukan dengan usaha dan tawakal supaya Allah swt memudahkan apa sahaja pekerjaan yang kita lakukan.
Ingin penulis berkongsi berkenaan satu ibadah sunat yang mampu semua orang lakukan, iaitu Tahajjud.
ALLAH swt berfirman dalam Surah Al-Isra’: 79
“Dan pada sebahagian malam Solat Tahajjudlah sebagai (ibadah) tambahan bagimu, semoga Tuhan mengangkatmu ke tempat yang terpuji”

Ramai di kalangan umat Islam hanya mengambil sebahagian sunnah Rasulullah yang menjadi kepentingan individu sahaja, namun tidak mengira kemaslahatan umat seluruhnya. Andai nilaian sunnah adat hanya menjadi ukuran nilaian islam yang sebenar, sudah tentu sunnah ibadat akan luput ditelan zaman. Perlu difahami sunnah adat meliputi amalan pemakaian berjubah, berserban, berjanggut, amalan pemakanan, kehidupan seharian, aktiviti riadhah, poligami dan sebagainya. Namun nilaian sunnah yang lebih besar iaitu sunnah ibadah yang harus menjadi keutamaan dan matlamat kita dalam mengejar keredhaan Yang Maha Pencipta. Ada individu yang seboleh-boleh memperjuangkan hak-hak poligami bagi lelaki namun tidak pula menyentuh sunnah-sunnah yang lain. Hanya mengira aspek indvidu melayani kehendak nafsu sendiri tanpa mengira perkara pokok yang menjadi asas utama dalam pembentukan ibadah yang sempurna. Kita kata kita sayang dan cinta rasul, namun apa buktinya? Apa perjuangan kita dalam membalas cinta Rasulullah yang amat mencintai umatnya? Sehingga saat sebelum saqaratul maut menjelang tiba, baginda masih lagi menyebut “ummati, ummati, ummati”. Tanda cinta yang amat mendalam baginda terhadap umatnya. Namun kita sering berdusta, di bibir melafazkan kata cinta namun di hati pula menidakkan kata lafaz cinta.

“Dirimu terlalu sempurna
Akhlakmu yang sungguh mulia
Jasamu yang amat berharga
Menerangi Jalan syurga
Selalu aku yang terlupa
Selawat jarang terlaksana
Di bibir menyatakan cinta
Di hati pula berdusta “
(Petikan lagu Engkau Insan Sempurna oleh Hijjaz)
Adakah kita menyangka kita sudah cintakan Rasululah namun tidak mengamalkan sunnahnya? Mengatakan cinta kepada baginda namun masih lagi ingkar ajaran yang dibawa baginda? Cinta hanya pada bibir namun pelaksanaannya tiada. Umpama seseorang sedang ingin menyantap “Maggie” yang terhidang panas di hadapan mata, ditambah kala hujan yang turun mendinginkan suasana.  “Maggie” yang masih berasap di makan panas-panas amat sedap di kala itu, namun hanya merenung dan melihat lalu berkata dirinya “Aku nak makan Maggie”. Namun tidak disantapnya, lalu kembali berkata “ Aku nak makan Maggie” namun masih jua tidak disantapnya. “Aku nak makan maggie” kali ini dengan nada suara yang lebih mendayu dan lemak merdu, namun masih jua tidak disantapnya Maggie di hadapannya itu. Itulah perumpamaan yang cuba penulis berikan untuk menggambarkan tahap kecintaan kita kepada Rasulullah SAW namun masih tidak melaksanakan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Rasulullah sejarah hidupnya yang merupakan seorang pengembala kambing, amat amanah dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Ketika bertugas sebagai penjaga perniagaan isterinya Siti Khadijah binti Khuwailid dan mengikut Abu Talib, bapa saudaranya, adalah seorang yang amat amanah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan padanya.
Siapa yang tidak mengenali Muhammad, seorang yang amat dipercayai ketika itu. Amat benar tutur katanya, setiap kata-kata yang keluar dari mulut baginda pasti akan berbuahkan kejujuran dan keikhlasan dalam beramanah.  Sehinggakan Rasulullah yang ketika itu masih belum diangkat menjadi Rasul, dilantik untuk menyelesaikan isu masalah antara puak-puak kabilah dalam meletakkan kembali Hajarul Aswad ke tempatnya. Sehingga mereka sanggup memerangi antara satu sama lain dalam menyatakan hak mereka sebagai Kabilah yang layak untuk melakukan tugas tersebut. Ternyata kepercayaan yang diberikan kepada baginda dapat dibalas dengan kaedah jawapan yang sesuai dan tepat sehingga memuaskan hati semua kabilah tanpa langsung tiada rasa ketidak-puas hatian, dan seterusnya menyatukan kembalik antara puak-puak dan kabilah tersebut. Sehingga Rasulullah sangat mulia dengan gelaran “Al-amin” yang membawa maksud yang dipercayai. Jika kita fikirkan secara mendalam tentang hikmah perbuatan Rasulullah, ternyata Rasulullah beramanah dalam melakukan setiap pekerjaan yang dilakukan hatta tidak dibayar gaji sekalipun, namun demi membalas kepercayaan Rasulullah melaksanakan dengan pelaksanaan yang paling menyenangkan hati semua pihak. Bukan mudah untuk memikul amanah dan tanggungjawab yang besar, tambahan lagi amanah ini bukan sahaja melibatkan diri sendiri namun amanah yang melibatkan kemaslahatan ummat dan banyak pihak amatlah sukar untuk dijaga dan dilaksanakan. Ternyata Rasulullah adalah contoh ikutan terbaik sepanjang zaman seperti dalam Al-Quran.
“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik”.

Ada ulama’ jua menyebut, akhlak Rasulullah itu Al-Quran. Rasulullah itu ternyata bersifatkan dengan sifat-sifat Rasul yang empat iaitu, menyampaikan, benar, amanah, dan bijaksana. Rasulullah itu umpama bintang yang berseri cahaya di atas cahaya yang menerangi cakerawala, bersyukur kita dikurniakan insan sempurna yang termulia di kalangan para nabi dan rasul.

Penulis ingin mengambil contoh dalam konteks negara kita sendiri, sebagai sebuah negara Islam, semua orang beramanah dalam memastikan negara Islam Malaysia ini mengikut syariat dan landasan Islam yang betul. Bukan sahaja amanah memimpin negara ini terletak di atas bahu pemerintah dan pimpinan negara, kita seharusnya mengambil inisiatif sebagai rakyat dan penduduk warganegara Malaysia memastikan negara kita ini aman damai dan sentiasa di bawah pemerintahan yang adil dalam memajukan islam dan seluruhnya. Jika semua amanah ini dan tanggungjawab ini diserahkan kepada Pemerintah bulat-bulat, sudah tentu kita tidak akan dapat membentuk negara Islam yang membangun dan berkembang maju atas ketidaksedaran diri kita dalam mencari keberanian dan semangat dalam memikul amanah dalam menjaga negara.

Ambil sahaja konteks yang lebih kecil dari sudut kekeluargaan. Institusi kekeluargaan dipimpin oleh seorang ketua merangkap ayah dan suami, dibantu oleh isteri dan anak-anak. Tanpa kefahaman tentang amanah dan tanggungjawab dalam keluarga sudah pasti konsep kefahaman tentang amanah ini tidak mampu dikuasai oleh semua individu dalam keluarga. Maka akan timbullah pelbagai masalah yang pasti menggugat institusi kekeluargaan itu sendiri.  Semua individu dalam keluarga harus memainkan peranan dalam memastikan keluarga kita mampu dibentuk menjadi “usratussai’dah” dan mampu di sebut sebagai “Baiti Jannati” ataupun Rumahku Syurgaku. Ingin penulis katakan bahawa bila hati-hati individu dalam keluarga mampu terjalin erat, maka selamatlah dengan izin Allah institusi kekeluargaan dan akan bersinar selalu seperti bahtera yang melayari lautan dengan lancarnya. Suami sebagai ketua harus memainkan peranan penting dan isteri sebagai pembantu harus juga memberikan sokongan dan bantuan dalam mendidik keluarga itu menjadi seperti yang diharapkan. Andai lahir individu yang memahami konsep amanah dalam keluarga, seterusnya ia terapkan dalam kerjaya dan ibadah yang meluas lagi terus ke aspek kehidupan nescaya akan maju semua institusi-institusi yang wujud hasil penyatuan kelompok-kelompok individu dan pasti setiap matlamat dan impian dalam menghubungkan dunia kerjaya, ibadah dan amanah mampu dilaksanakan dengan baik.

Mengira kembali aspek kerjaya, di sebalik kejayaan seseorang individu dalam bidang kerjaya dan sebagainya, pasti akan ada sesuatu rahsia di sebalik kejayaan tersebut. Pasti ada dorongan, pengaruh atau pemangkin (catalyst) dalam merencanakan kejayaan itu. Kita harus percaya dan yakin bahawa semua kejayaan itu adalah milik Allah namun harus bersebab. Andai kuat asbab musababnya, pasti Allah kurniakan kejayaan di dalam setiap apa yang kita perjuangkan dalam kehidupan kita ini.
Firman Allah swt yang bermaksud:
“Dan mereka merancang, dan Allah juga merancang, ternyata Allah adalah sebaik-baik perancang”.

Tuesday, January 29, 2013

TSJ...Tujuan Hidup

TUJUAN HIDUP

Apakah tujuan hidup anda? Pernah anda terfikir, kenapa anda dilahirkan di dunia ini?semua kejadian ciptaan Allah itu bersebab dan ada tujuan, seperti Firman ALLAH,
“Dan aku jadikan manusia dan jin melainkan utk beribadah kepada aku”.

Begitu juga pekerjaan karier hidup anda, anda ingin jadi apa?utk menyara kehidupan?Ramai yang mengetahui secara umumnya bahawa kehidupan dunia fana ini tidak kekal dan kita akan dimatikan dan dihidupkan semula ke alam yang kekal abadi itulah alam Akhirat yang secara umumnya semua mengetahui. Bermula pada peringkat Alam Roh , kemudian ditiupkan ke Alam Rahim, Dan dihidupkan ke Alam Dunia, Alllah memberi tugasan kepada Malaikat Izrail untuk mengambil nyawa setiap anak Adam, kemudian di tempatkan sementara di Alam Kubur atau Alam Barzakh barulah kemudian dihidupkan semula ke alam Akhirat setelah tiupan sangka kala kedua ditiup oleh Malaikat Israfil.
Namun, pada peringkat umur manakah kita menyedari akan kewujudan keseluruh alam ini? Mungkin di peringkat sekolah rendah, mungkin ada di peringkat menengah dan mungkin ada yang sehingga ke hari ini tidak tahu akan kewujudan kesemua alam-alam ini.  Tidak mengapa pada peringkat mana pun anda menyedari akan kewujudan semua alam ini, yang menjadi pokok utama apakah anda sudah bersedia ke alam-alam lain selepas alam dunia? Ada pepatah atau mutiara kata mengatakan “Cara hidup kita menentukan cara mati kita”, dan “cara hidup kita di dunia menentukan cara hidup kita di akhirat”. Pernahkah kita terfikir akan semua ini?
Mungkin pembaca sekalian tertanya-tanya cara hidup apakah yang dimaksudkan dan cara hidup yang bagaimana yang anda inginkan di alam akhirat nanti. Penulis pasti semuanya pasti menginginkan ganjaran syurga yang kekal abadi meskipun tiada usaha atau pelaksanaan amalan dalam mengejar syurga yang dijanjikan Allah s.w.t yang di dalamnya terdapat pelbagai kenikmatan yang tidak sama dengan apa yang ada di atas muka bumi dunia ini. Umpama pertanyaan tentang perihal jodoh kepada si gadis sunti. “ Apakah ciri-ciri lelaki yang ingin anda jadikan sebagai suami”? Sudah tentu perkara pertama selain daripada paras rupa jawapan yang akan diberikan adalah “BERIMAN”. “ Saya nak cari lelaki yang soleh, beriman dan hormat orang tua”. Nah, mesti jawapan ini yang bakal diberikan walaupun diri menyedari yang empunya diri sendiri pun berpakaian seksi, tidak menutup aurat, tidak mengamalkan syariat dan ajaran Rasulullah saw, dan sebagainya namun masih lagi mendambakan suami yang lengkap ciri-ciri keimanan. Sama seperti ganjaran syurga, pasti semua hatta penjenayah, perompak, dan lain-lain profesion dalam bidang jenayah sekalipun pasti akan tetap mendambakan ganjaran ALLAH yang pasti; itulah syurga di akhirat nanti.
Persoalannya, apakah itu semata-mata tujuan hidup kita? Semata-mata mengejar Syurga ciptaan Allah buat manusia-manusia yang patuh suruhannya dan meninggalkan larangannya?
Penulis ingin membawa pembaca sejenak menerokai saat-saat kelahiran seorang bayi. Bermula ketika penyatuan benih suami (sperma/nutfah) dan bercantum dengan benih isteri (ovum) dan mengalami proses persenyawaan. Kemudian mengalami proses-proses pengembangan daripada zigot menjadi fetus kemudian embrio dan seterusnya ke fasa-fasa yang lain. Dikandungkan si ibu selama lebih kurang 9 bulan 10 hari atau 32 minggu barulah si bayi itu akan melalui proses kelahiran yang amat menyakitkan si ibu. Umpama kesakitan ibarat tali perut dan usus direntap keluar sehingga banyak pendapat mengatakan syahid andai ibu meninggal dunia ketika melahirkan.
Si bayi kecil itu di azankan dan di iqamahkan, namun bayi adalah bayi, tetap suci dan bersih tidak kira dalam agama apa pun si ibu dan ayah tadi.
Hadith masyhur menyebut,
“Anak-anak adalah ibarat kain putih, ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkan dan mendidik sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”.
Jadi saat bilakah kita akan menyedari akan tujuan hidup? Bilakah ketikanya? Sedari kecil? Kanak-kanak? Remaja? Dewasa? 30-an atau 40-an hatta menjangkau umur warga emas sekalipun, bilakah kita akan pasti akan tujuan hidup kita? Ternyata persoalan ini amat subjektif untuk dijawab. Penulis biarkan pembaca memberikan jawapan untuk soalan itu tadi. Tiada skema jawapan tepat untuk ini kerana semua jawapan tidak akan salah. Namun harus diingat, banyak faktor akan menyumbang kepada kesedaran akan tujuan dan matlamat hidup; ibu  bapa seperti petikan hadith tadi, persekitaran, pergaulan dengan rakan-rakan, asas pengetahuan agama dan sebagainya. Andai anda mampu mengawal diri dan perjalanan hidup anda, anda pasti berjaya mencari matlamat hidup yang hakiki dan pasti temui jalan yang benar (siratulmustaqim).

“Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pegasih lagi Maha Pemurah
Segala puji bagi Allah tuhan sekalian Alam.
Yang Maha Pengasih dan Pemurah
Maha berkuasa di Hari Pembalasan
Kepada engkaulah yang kami sembah dan kepada engkau kami meminta pertolongan
Tunjukilah kami jalan yang lurus
Jalan orang-orang yang mendapat nikmat darimu
Bukan jalan orang-orang yang engkau murkai dan bukan pula jalan orang yang sesat.”

Monday, January 28, 2013

Travelog Seorang Jurutera

PROLOG

Ku biar kalam berbicara, meluahkan maksud di jiwa agar mudah utk semua mengerti segala yang terjadi sudah suratan ilahi. Ku biarkan tangan-tangan yang di selaputi kedut-kedut halus menulis dengan pena basah untuk meluahkan hasrat di hati agar terubat segala luka dan duka yang menyelaputi setiap genap pelusuk hati yang suci murni ibarat barah yang bakal merebak andai tidak segera diubati.

Ungkapan madah memang indah, seindah kata-kata yang mampu diungkap andai disertai dan disokong keberanian umpama Sang Romeo yang ingin menduga hati Si Juliet. Kita tidak menyangka, kita bukan seperti apa yang orang sangkakan yang berpura-pura dalam medan perjuangan dakwah moden yang kini hampir membius dunia dengan kehebatan pendakwah-pendakwah muda. Maher Zain berkata: “If you want to speak to the world, make a song”, dan banyak lagi. Usah khuatir akan musuh yang sentiasa membenci perjuangan menegakkan agama islam di muka bumi ini kerana tanpa azam dan keyakinan yang kuat serta mampan terhadap Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Rububiyyah nescaya amat mudah kita tersungkur dalam medan perjuangan yg serba mencabar dan amat memerlukan kesabaran yang tinggi. Tanpa cacian, hinaan, dan makian tidak mungkin kamu akan menjadi pendakwah yang teguh dan utuh asas ilmunya, tidak mungkin akan menjadi seperti para sahabat, dan para wali ulama terdahulu yang amat obses dalam menegaakkan perjuangan islam dan membantu mempertahankan kedaulatan dan kemuliaan islam. Ingatlah Mutiara Kata berbahasa Inggeris berbunyi,
“Pressure and heat turn the stone become diamond”.
Amat mendalam makna kata-kata ini, hanya dengan tekanan dan haba yang membawa maksud ujian, cabaran, dugaan dan masalah dunia yang bakal merubah sebutir batu menjadi butir-butir berlian yang diibaratkan manusia biasa menjadi luar biasa atau dengan erti kata lain, manusia hebat.

Pada zaman serba moden canggih dan berteknologi yang sangat membangun, dakwah dalam konteks teknologi moden yang amat banyak fitnahnya. Tanpa ilmu dan iman yang teguh akan jatuh terjelapuk setiap pendakwah yang berjuang ke jalan Allah. Pendakwah dalam konteks berdakwah tidak semestinya perlu menjadi pendakwah bebas sahaja, tidak perlu mendapatkan gelaran ustaz, haji, imam, hatta Imam Muda sekalipun untuk melaksanakan misi dakwah ini. Ustaz Azhar Idrus berkata, apa itu dakwah??Dakwah bermaksud ajak orang buat baik..AOBB, (any other big business), tidak kira dalam percakapan, perbuatan, tingkah laku, penulisan, lakonan, nyanyian, dan sebagainya, andai ada unsur-unsur mengajak orang utk berbuat ke arah kebaikan itulah dakwah yang sebenarnya. Mungkin daripada segi taraf berbeza kerana berlainan metodologi.  Dakwah itu perlukan pengorbanan, masa, tenaga, wang ringgit dan andai anda tidak mampu atau tidak sanggup berkorban ke arah ini, anda tidak mungkin akan mampu memikul tugasan dan tanggungjawab sebagai khalifah apatah lagi sebagai pendakwah yang amat mulia harganya andai berjaya menarik minat ramai orang utk memilih islam sebagai gaya hidup.

Islam sebuah agama yang syumul terpelihara daripada segala cacat dan noda, akan mengajar anda erti kejayaan yang hakiki kerana sesungguhnya nilaian iman dan taqwa itulah yang paling tinggi nilainya di sisi Allah swt.
Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu adalah orang-orang yang bertaqwa”

Di dalam hadith nabi SAW yang bermaksud,
“Sesungguhnya Allah swt tidak melihat kepada rupa paras kamu dan harta benda kamu, tetapi Allah melihat kepada hati kamu dan amalan kamu”.

Jadi sedarlah wahai manusia sekalian sejauh mana pun anda mampu kecapi kekayaan wang ringgit dan harta benda, nama yang hebat, kerjaya yang berkarisma tinggi, semua ini adalah pinjaman Allah swt semata-mata yang seharusnya mendorong anda dalam mengejar akhirat yang kekal abadi, bukan mendorong anda untuk lebih menjauhkan diri daripada Allah swt angkara sibuk dalam mentadbir dunia sehinggakan 24 jam sehari yang diberi tidak dirasakan cukup dalam mengejar kemewahan dan kenikmatan dunia. Setiap daripada kita ada 24 jam namun cara kita mengisi masa harus dengan cara yang betul. Allah peruntukkan kita untuk meluangkan masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk pengabdian diri kepada Allah swt. Penulis ibaratkan anda solat sekali selama lebih kurang 5 minit. 5 kali sehari bersamaan 25 minit dan purata kepada 30 minit sehari untuk solat yang merupakan Rukun Islam kedua di antara yang Lima. Andai 30 minit sehari ini pun anda tidak mampu untuk luangkan angkara sibuk mengejar duniawi, nescaya akan Allah tarik segala nikmat kelapangan masa angkara pengurusan masa anda sendiri yang tidak betul. Tidak meletakkan keadilan dalam pengurusan masa.
“Demi masa. Sesungguhnya manusia di dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh”.

Jangan kita jadi seperti Qarun, yang merupakan abid di zaman Nabi Musa A.S. memohon kepada Allah agar dikurniakan kekayaan dan kemewahan harta benda, sehingga Allah swt makbulkan segala usahanya sehingga menjadi kaya- raya. Ada yang meriwayatkan seekor unta diperlukan untuk membawa kunci-kunci gedung harta kepada Qarun, sehingga ia lupa akan Allah swt akibat sibuk menguruskan hartanya yang amat banyak. Lupa dan alpa akan janjinya kepada Allah swt agar beribadah dengan lebih banyak setelah berharta. Ia tidak sedar ini semua adalah istidraj daripada Allah swt ke atas dirinya sehingga ketika Nabi Musa a.s mengarahkan Qarun membayar zakat, Qarun ingkar kerana takut rugi dan kehabisan harta hanya kerana mengeluarkan zakat. Atas keingkaran Qarun dan penolakannya atas suruhan dan arahan Allah swt, Allah swt menarik balik sekaligus semua harta dan dirinya sendiri, mati ditelan bumi sekali dengan harta-hartanya yang melimpah ruah banyaknya. Ada pendapat yang mengatakan bahawa segala harta yang kita temui, di dalam gua, di dalam tanah dan sebagainya, adalah harta tinggalan Qarun yang ditelan bumi.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud,
“Ingatlah lima perkara sebelum datang lima perkara, masa sihat sebelum sakit, masa muda sebelum datang tua, masa kaya sebelum datang miskin, masa lapang sebelum datang kesempitan, dan hidup sebelum mati”.

Thursday, January 24, 2013

Travelog Seorang Jurutera

MUQADDIMAH

Tidak ramai penulis kala ini yang suka berkongsi akan pengalaman dan pengetahuan dalam bidang pekerjaan masing-masing terutama dalam bidang-bidang professional yang memerlukan daya pengetahuan dan kebolehan yang tinggi. Penulis mengambil kesempatan ini membuat coretan kisah-kisah perjalanan hidup berkisar tentang liku-liku perjalanan seorang yang berkerjaya namun tidak tertumpu dengan karier sebagai jurutera sahaja biarpun tajuk diberi “TRAVELOG SEORANG JURUTERA”.  Ketika anda menerokai kisah coretan buku ini, anda pasti kisahnya pasti tidak akan membuatkan anda berfikir yang ini hanya termaktub kepada sebuah kerjaya sahaja. Penulis memilih tajuk ini hanya kerana berasakan hati dan jiwa lebih dekat untuk menulis andai berilhamkan kerjaya penulis sendiri. Biarpun kebanyakan pengalaman-pengalaman dan jalan cerita yang dikongsi ini masih umpama hijau daun dalam dunia kerjaya, setahun jagung dan masih belum matang dalam bidang yang diceburi, penulis mengambil kesempatan ini untuk berkongsi terutamanya dengan pelajar-pelajar dan graduan-graduan yang masih mencari-cari matlamat dan hala tuju setelah tamat pembelajaran. Zaman persekolahan, zaman universiti tidak sama cabarannya dengan zaman pekerjaan. Ini kerana zaman persekolahan anda masih lagi ada pembantu, masih lagi ada fasilitator dan masih lagi ada panduan yang jelas daripada para pendidik. Namun zaman pekerjaan adalah satu zaman yang mencabar kerana anda bukan sahaja memilik dan mencorak pekerjaan dan kerjaya anda namun secara tidak langsung anda mencorak jalan hidup anda. Andai betul matlamat dan objektif hidup anda, penulis pasti anda akan mampu berjaya bukan sahaja di dunia malah di akhirat. Kejarlah akhirat nescaya akan mendapat dunia, namun andai anda kejar dunia dan tinggalkan akhirat anda tidak akan dapat manfaat di hari kemudian kelak.  Anda ibarat manusia yang mengejar fatamorgana di kala siang, dari jauh tampak fatamorgana itu namun bila didekati ianya secara realitinya adalah tiada.
Ada sepotong hadith yang bermaksud,
“Bekerjalah umpama anda akan hidup selama-lamanya dan beribadahlah umpama anda akan mati pada esok hari”.

Begitu mendalam makna kata-kata Rasulullah ini, kerana andai anda sendiri menilai dan mengkaji, anda pasti akan menemui jawapan tersirat daripada maksud kata-kata ini. Nilaian kejayaan bukan hanya tertumpu andai anda bekerjaya besar, berpenampilan hebat, berkarisma, berkehidupan serba lengkap, serta memiliki pangkat dan harta yang banyak. Namun nilaian kejayaan yang sebenar adalah kejayaan di  akhirat kelak yang kekal abadi. Syurga tinggalan Nabi Adam dan Hawa angkara bisikan iblis laknatullah, itulah matlamat yang paling berjaya andai kita mampu mendapatkannya. Pokok pangkalnya, kejar akhirat, nescaya keredhaan Allah itu yang paling utama yang harus anda kecapi. Sama-sama menerokai kehidupan ini agar kita bermuhasabah dan sentiasa menilai dan menghisab diri, agar sama-sama mampu mengecapi kejayaan yang menjadi impian semua makhluk yang bernyawa di dunia ini.
Ingatlah kata-kata Rasulullah SAW yang bermaksud,
“ Tidak sempurna iman kamu andai kamu tidak mengasihi saudara-saudara kamu seperti mana kamu mengasihi diri kamu sendiri”.

Kerana kasih sayang yang amat mendalam dan cintakan anak bangsa, agama dan negara, terhasillah karya ini “TRAVELOG SEORANG JURUTERA” buat mengisi perut rohani  yang sesuai dijadikan santapana di kala lapar ataupun kenyang.



IM Azlan
010-6206123/019-268 3112