Total Pageviews

Saturday, June 7, 2014

Tulisan Dr Chandra Muzaffar berkenaan isu serbu kuil


Posted: 06 Jun 2014 03:17 AM PDT
Serbuan Pada Majlis Perkahwinan 

Tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Jamil Khir bin Baharom yang mempertahankan tindakan pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menimbulkan beberapa persoalan penting.
 
Memang benar bahawa JAIS mempunyai kuasa mengikut peruntukan dalam Jadual 9 Senarai 2 Perlembagaan Persekutuan untuk melindungi kesucian dan keutuhan agama Islam seperti yang diamalkan di Negeri Selangor. 

Yang dipersoalkan oleh pemimpin-pemimpin tertentu seperti mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bukan mengenai kuasa JAIS tetapi pendekatan yang diambil oleh JAIS dalam isu serbuan sebuah majlis  perkahwinan yang berlangsung di sebuah kuil di Petaling Jaya pada 2 Jun 2014.
 
Menyerbu majlis perkahwinan terutamanya di sebuah tempat beribadah dan membawa pergi pengantin perempuan atas alasan bahawa beliau memiliki nama seorang muslim tetapi mengambil bahagian dalam upacara perkahwinan Hindu adalah perbuatan yang kurang sopan

Isu status pengantin perempuan itu sepatutnya diselesaikan melalui perundingan tanpa menganggu upacara keagamaan yang pastinya menyentuh sensitiviti penganut agama Hindu.

Islam adalah tamadun yang menghormati amalam-amalan ibadah agama-agama lain. Tambahan pula,  pendekatan yang kita ambil dalam melakukan sesuatu perkara sama penting dengan matlamat yang ingin dicapai. Kesopanan dan kesusilaan adalah nilai-nilai yang disanjung tinggi dalam agama kita. 

Isu serbuan pada majlis perkahwinan agama lain sepertimana dengan beberapa isu lain yang timbul dalam tempoh beberapa tahun belakangan ini wujud kerana pihak-pihak tertentu kurang menghargai suatu prinsip penting dalam Al Quran Nul Karim yang termaktub dalam Surah Al-Kafirun ayat 6, ‘lakum  dinukum waliyadin’ yang bermaksud bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.
  
Dr Chandra Muzaffar
Pengerusi
Lembaga Pemegang Amanah
Yayasan 1 Malaysia
Petaling Jaya
6 Jun 2014

No comments:

Post a Comment