Total Pageviews

Thursday, December 27, 2012

Buat adik-adik SMAKL


Assalamualaikum wbt,

Tidak sah ataupun tidak lengkap andai tiada ucapan salam buat pembuka bicara kepada semua. Apa khabar adik-adik SMAKL sekalian? DI harap kalian sentiasa di bawah lembayung rahmat ilahi dan kasih sayang Allah yang tiada taranya.
Mungkin adik-adik sekalian tertanya-tanya, siapakah saya? Buat yang mengenali, alhamdulillah namun bagi mereka yang belum ingin saya perkenalkan diri, saya juga bekas pelajar generasi ke-12 SPM 2003.
saya percaya tiada yang mengenali kerana amat jauh beza umur antara kita.
Bagaimana hidup di SMAKL? Kehidupan asrama? Jauh berbeza kan kehidupan rumah dan asrama yang serba kekurangan berbanding teratak rumah kita yang cukup indah buat kita berteduh.
namun kehidupan asrama lah yang banyak mengajar kita erti kehidupan berdikari dan mengajar kita erti kedewasaan dan erti sebuah pengorbanan dalam mencorakkan kehidupan kita dengan warna dan dakwat kita sendiri.
Bagaimana belajar di sini? Saya pasti semua di kalangan anda inginkan proses pembelajaran yang sempurna, begitu juga saya. Usah bandingkan kita dengan sekolah-sekolah lain kerana kita bertemakan dan berkonsepkan dengan konsep kita sendiri, “KESEIMBANGAN DUNIAWI DAN UKHRAWI” bukan sekadar berjaya dalam peperiksaan sahaja yang dicari namun kejayaan di dunia dan dunia yg kekal abadi iaitu akhirat agar kita mampu menjadi insan yang menjadi tauladan dan contoh serta mampu menyumbang dalam membangunkan diri, keluarga, masyarakat, negara, bangsa dan agama Islam yang kita sayangi dan cintai.

Usah mudah mengalah dalam melakukan apa sahaja dalam kehidupan kita seharian. Andai kita gagal buat kali ke-100 sekalipun, terus gandakan usaha, mungkin Allah akan beri ganjaran kejayaan andai kita mencuba buat kali yang ke-101, siapa tahukan? Kita merancang Allah juga merancang, namun perancangan Allah yg Maha hebat paling sempurna. Ingin saya kongsikan pengalaman saya sewaktu Tingkatan 5 Ali 2003.
banyak suka duka kenangan pahit manis yang tidak mampu saya padamkan dari memori lembut dalam kepala saya. Memori nakal dan sebagainya, tetap menjadi kenangan yang mampu buat saya tergelak kecil dan terhibur hati andai terkenang kembali.
Kenangan di sebat oleh Ustaz Kamarul di dalam bilik pengawas ketika subuh bertubi-tubi namun diselamatkan oleh gulungan tikar kerana saya tidur di dalamnya, kenangan di sebat Ustaz Erfino Johari, Cikgu Azmi dan lain-lain lagi. Sungguh menggeletek hati, sehinggakan pagi ingin berjumpa Ustaz Kamarul saya tersipu-sipu malu atas insiden yang terjadi.
Kekalahan SUARA SMAKL 2003 di peringkat Kuala Lumpur (NEGERI) adalah juga atas kelemahan saya selaku Solo Kedua yang pecah suara ketika membawakan lagu yang agak tinggi buat nada saya, pecah sepanjang-panjang rangkap nada tinggi. Kalah disebabkan saya, sedih hiba dan bersalah serta berbagai-bagai lagi perasaan yang menyerang jiwa ketika itu.  Sehingga saya tidak henti-henti menyalahkan diri dan semua kekalahan berpunca daripada saya, namun ramai yang memberi semangat, guru-guru, rakan-rakan seperjuangan saya dan adik-adik junior yang menyukai SUARA SMAKL 2003 yang pasti menantikan kami keluar setiap kali membuat persembahan. Lama juga saya patah hati akibat kekalahan itu kerana hati dan jiwa berkobar-kobar ingin mengharumkan nama SUARA SMAKL dan nama sekolah ke peringkat sekolah namun apakan daya, kita merancang Allah jua merancang dan pasti ALLAH mempunyai perancangan yang terbaik buat kita dan semua. Usaha lagi dan insyaallah cita-citamu akan tercapai.
Ingatlah kata-kata ini, Usaha Doa Tawakal harus seiring agar Allah akan makbulkan apa jua permintaanmu. Sama ada cepat atau lambat sahaja.

buat yang ingin menduduki peperiksaan PMR dan SPM, harus tingkatkan usaha, usah malu bertanya dalam pelajaran andai ada yang tidak difahami, usah sombong dalam menuntut ilmu, sentiasalah merendah diri andai ada bijak sekalipun tidak guna andai tiada nilai-nilai murni yang patut dipupuk di dalam diri.
sikap meninggi diri, kedekut ilmu, bangga diri boleh membawa kepada riya’ dan takabbur yang merupakan sifat-sifat mazmumah yang harus dielakkan. Tiada guna dan tidak membawa apa-apa keuntungan buat diri, namun jika anda murah dalam memberi tunjuk ajar kepada rakan-rakan lain, pasti Allah akan memberi kefahaman yang jitu kepada anda seterusnya memudahkan proses pembelajaran.
usah malu meminta dari ALLAH, pintalah dengan doa yang ikhlas tanpa mengharap balasan Allah. Ingatlah andai anda melangkah jauh dan rasa tanpa arah tujuan, dan ingin kembali ke landasan yang benar atau ke pengkalan, berdoalah tanpa titik noktah kerana doa itu mengeratkan kerana doa itu juga menyembuhkan hati dan kerana doa juga adalah punca ALLAH menyayangi kita sebagai HambaNYA.
Tak sesaat Allah biarkan kita keseorangan, tak sesaat juga Allah merasakan pinta kita itu satu bebanan dan kita harus yakin dan percaya bahawa diri kita amat memerlukan kasih sayang dan rahmat Allah. Yang mengeratkan hubungan sesama manusia dan hubungan kita dengan Yang Maha Pencipta.
Jaga hubungan dengan manusia agar sentiasa disayangi dan disenangi, dan jaga hubungan dengan ALLAH. Andai ada masalah dengan manusia, muhasabah kembali dan periksa hubungan kita dengan Allah, pasti ada kekurangan di mana-mana.
Jadilah seperti padi, makim berisi makin menunduk, usah jadi seperti lalang, yang makin tinggi makin meninggi diri.
jadilah seperti lebah, yang mampu memberi kemanisan madu kepada manusia sejagat dan hidupan lain,
usah jadi seperti Dinasour yang hanya nampak gah dan hebat namun tidak mampu mengekalkan perjalanan umat-umat dan species keturunanNYA sehingga pupus dari dunia.
Ingatlah semua,
beramal untuk akhirat yang pasti,
Beriman dengan keimanan yang sejati
berbakti dengan sebenar-benar usaha kepada semua agar hidup kita mampu Allah berkati dan rahmati.
Insyaallah.

Yang Ikhlas,



IMAM MUDA AZLAN
Bekas Pelajar SMAKL
Generasi Ke-12 SPM 2003

No comments:

Post a Comment