Total Pageviews

Monday, February 18, 2013

KERJAYA ADALAH JURUTERA KEHIDUPAN


Selama lebih 3 tahun menempuh alam pekerjaan, banyak liku-liku pahit manis jerih perih ketika melaksanakan tugas sebagai seorang Jurutera. Bermula selepas bergraduat dari salah sebuah universiti tempatan, seterusnya melakukan kerja-kerja sebagai Eksekutif Jualan dan Pemasaran di sebuah syarikat pemasaran terkemuka antarabangsa selama 3 bulan dan kemudian melaporkan  diri setelah dipanggil untuk memikul amanah dan tanggungjawab sebagai seorang Jurutera di Bahagian Pemasangan Pelantar Luar Pesisir Pantai dalam sektor minyak dan gas. Ternyata seawal menerima amanah ini, penulis tahu bahawa kerjaya ini tidak semudah yang disangka. Sebut sahaja “offshore” atau luar pantai pastinya ramai akan teruja akan kemasyhuran nama ini. Namun pasti tidak ramai yang memikirkan apakah risiko-risiko yang bakal dihadapi bagi semua yang meminati dan berkecimpung dalam bidang ini.

Bila bercakap soal risiko, siapa yang boleh katakan kerja yang tiada risiko? Semua pekerjaan adalah berisiko. Cuma perbezaannya adalah antara risiko rendah, risiko sederhana, risiko tinggi, risiko amat tinggi dan sebagainya. Namun harus diingat bahawa setiap risiko mampu kita kawal dengan mengira nilai risiko terkira “calculated risk”. Ingatlah bahawa setiap masalah, ujian, atau bebanan yang kita hadapi adalah daripada Allah swt sebagai tanda komunikasi Allah kepada hambanya, usah mengeluh, hadapi sahaja ujian itu dengan tabah dan sabar kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Firman Allah swt.
“Aku tidak akan membebani seseorang itu dengan apa yang dia tidak termampu”.

Ayat ini menjelaskan bahawa setiap ujian dan bebanan yang menimpa kita adalah satu rahmat dan Allah tahu bahawa kita mampu menanggung apa jua ujian yang DIA berikan pada kita. Ujian itu satu proses peningkatan diri, tanpa masalah atau ujian yang melanda, kehidupan kita akan suram umpama tanpanya rencah dalam masakan yang perlu ada pahit, manis, masam, masin yang perlu sentiasa diimbangkan agar menjadi sebati dalam menghasilkan masakan yang sedap untuk disantap. Penulis pasti semua pernah merasa masakan yang tawar tanpa ada masin, dan manisnya. Ibarat hidangan untuk pesakit di hospital yang senantiasa tawar. Begitu juga jika diaplikasikan dalam kehidupan kita, akan kosong warna-warna kehidupan tanpa seri yang perlu ada. Selain itu juga, ujian ini Allah berikan pada hamba-hambanya sebagai satu proses peningkatan iman.
Firman Allah swt.
“Adakah kamu menyangka kamu beriman, sedangkan kamu belum diuji”

Ujian sebagai satu proses peningkatan iman kerana andai kita sentiasa memegang tali Allah kita akan sentiasa mendapat bantuan daripada Allah swt dalam menyelesaikan dan memudahkan setiap apa jua perkara yang kita lakukan sehari-harian.

Ingin saya singkap kembali peristiwa di zaman universiti dahulu, betapa susah dan perit dalam mengejar cita-cita. Penulis sedar bahawa kebanyakan masalah orang melayu dan anak-anak melayu adalah dari sudut penguasaan Bahasa Inggeris yang merupakan Bahasa Antarabangsa dan Bahasa Kedua dalam medium komunikasi tidak kira di alam universiti hatta di alam pekerjaan. Tanpa penguasaan di dalam Bahasa ini, sudah pasti akan keciciran dalam persaingan sihat antara manusia. Sehingga ramai yang berkata “ Without English, you will not survive anywhere – anonymous”. Tidak ketinggalan juga adalah diri penulis sendiri. Berbekalkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang hanya cukup-cukup makan, penulis menyambung pelajaran selama setahun di Matrikulasi di bawah Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan. Kemudian menyambung pelajaran di sebuah universiti tempatan dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Penguasaan Bahasa Inggeris penulis yang amat lemah menyukarkan proses pembelajaran dalam kelas dan menyebabkan penulis pernah berasa putus asa akibat sering ketinggalan di dalam kelas berbanding pelajar-pelajar lain yang sememangnya mahir berbahasa inggeris hasil didikan sejak dari kecil oleh ibu bapa sendiri.

Mengimbau kembali kenangan ketika bersama-sama 2 orang rakan sewaktu zaman sekolah menengah, kami bertiga sama-sama menghadiri sesi temuduga kemasukan ke universiti tersebut. Bertiga menaiki bas dari Puduraya, Kuala Lumpur dan menginap selama 2 malam di asrama Universiti. Penulis ingat lagi betapa susahnya ujian temuduga yang diadakan secara 3 peringkat. Peringkat pertama secara berkumpulan harus berbincang dan berdiskusi atas satu soalan masalah yang diberi. Penulis terpaksa bertahan dengan hujah-hujah penulis ketika melontarkan pandangan namun agak kekok dari segi penyampaian sehingga penulis kerap kali melihat rakan lain dalam kumpulan berkerut-kerut dahi dalam memahami maksud yang ingin penulis sampaikan. Dalam hati penulis hanya berkata, “Biar Broken English sekalipun, idea haru s dilontarkan, dan harus tampak keyakinan dalam percakapan dan dalam menegakkan hujah”. Kemudian masuk sesi temuduga individu yang meminta penulis memperkenalkan diri dan seterusnya harus menceritakan latar belakang, pendidikan, minat dan sebagainya sebelum diajukan soalan-soalan mencabar minda yang lain.  Penulis masih ingat lagi betapa payahnya berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris sehingga penemuduga berkenaan menyatakan bahawa boleh bercakap dalam dwibahasa andai tidak selesa. Alhamdulillah sesi temuduga tersebut berjalan dengan baik dan bertandang dalam hati keyakinan padu yang penulis akan dipanggil belajar di universiti tersebut. Rezeki kurniaan Allah, penulis diterima masuk untuk menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan yang memang menjadi cita-cita sejak dari UPSR lagi.

Bermulalah kehidupan sebagai seorang mahasiswa yang sememangnya mengundang pelbagai bentuk ujian dan cabaran. Tanpa ilmu dan iman yang kuat yang menjadi benteng diri, pasti bisikan syaitan akan menerobos dalam diri dan menguasai lubuk pemikiran hati sanubari kita. Mahasiswa sedikit sebanyak satu gelaran baru bagi diri penulis banyak merubah peribadi, tingkahlaku dan sikap daripada seorang yang banyak bergantung kepada orang lain kepada individu yang lebih bebas berdikari dengan usaha sendiri. Kematangan adalah satu aspek yang amat penting kerana di alam universiti ini ianya amat banyak membentuk semua mahasiswa menjadi seseorang yang mampu membuat keputusan sendiri, lebih berani untuk mengambil apa jua risiko dalam sesuatu perkara, lebih berkeyakinan dan mampu menjalankan apa jua tugasan andai disiplin menjadi tonggak pemanduan ke arah matlamat yang telah ditetapkan. Antara cabaran yang penulis hadapi adalah medium perantaraan yang menjadi medium utama dalam pembelajaran kuliah di dalam kelas dan sebagainya iaitu Bahasa Inggeris. Penulis akui bahawa penulis amat lemah berbahasa inggeris kerana sedari kecil dan sekolah rendah, penulis kurang berminat dengan Bahasa Inggeris kerana cikgu ketika itu amat garang, namun ia baik dengan bangsa yang lain kerana ia berketurunan India. Agak cenderung guru ini kepada murid-murid yang lain terutama yang berbangsa Cina dan India kerana mereka kebanyakannya sudah mahir dan fasih berbahasa Inggeris akibat didikan komunikasi di rumah. Tidak seperti anak-anak melayu yang daripada keluarga susah dan sederhana kebanyakan mereka memang amat susah untuk menguasai bahasa ini pada peringkat awalnya namun sedikit demi sedikit akan dapat menguasai pabila muncul kesedaran dalam diri disuntik dengan faktor tekanan, dorongan dan sebagainya.

Alam pekerjaan semestinya memerlukan kemahiran interpersonal yang tinggi. Ini kerana kita sentiasa perlu bekerja dalam satu pasukan dan seringkali memerlukan penggunaan idea-idea dan pandangan yang bernas dalam menyelesaikan sesuatu kerja. Tanpa kemahiran interpersonal yang tinggi sudah pasti setiap kerja atau tugasan yang diberikan tidak mampu dilaksanakan dengan jaya dan lancar serta hasil akhirnya pasti tidak menemui sasaran dan matlamat sebenar sesebuah organisasi. Nilai kembali diri kita, adakah kita sudah cukup bersedia menempuh alam pekerjaan?
Keputusan akademik yang baik hanya untuk menempatkan diri kita di dalam sesi temuduga untuk perkadiran, kemudian setelah kelulusan temuduga adalah tiket untuk menempatkan kita di dalam organisasi. Namun tiket ini tidak semestinya akan membawa kita ke tempat yang betul-betul kita sukai, dan kadangkala apa yang kita suka atau minat tidak akan semestinya kita dapat, jadi cara terbaik adalah dengan memupuk di dalam hati sanbuari semangat cintakan apa yang kita tidak suka.
Pepatah Inggeris ada menyebut “What You Hate could be the Most Valuable To You”. Jadi sentiasa beringat dan terapkan di dalam kehidupan seharian semangat menyintai apa sahaja perkara dalam kehidupan sama ada yang kita suka atau benci. Hadapinya dengan penuh ketabahan dan keyakinan bahawa setiap perkara itu ada perancangan dan perancangan yang terbaik adalah dari Allah swt kerana Allah swt adalah Maha Sebaik-baik Perancang.
Selain daripada itu, setiap ketakutan perlu kita tangani dan hadapi dengan baik. Ini kerana ketakutan dan kebimbangan ke atas sesuatu perkara itu adalah perkara normal, dan berlaku kepada semua insan. Cuma cara menghadapinya adalah berbeza bagi tiap-tiap individu. Perkara yang dihadapi akan dapat diselesaikan samada mudah atau susah bergantung kepada cara kita berhadapan dengan perkara atau situasi tersebut. Sentiasa tanamkan dalam jiwa dan pemikiran, tanpa berhadapan dengan masalah tidak mampu akan melahirkan kematangan dan kebolehupayaan dalam diri.
Contohnya, katakan perkara masalah yang anda hadapi itu amat berat jika anda fikirkan, dan tanpa panduan yang jelas sudah pasti tidak sesiapa akan mampu menghadapinya. Anda mengambil jalan mudah, tidak mahu berhadapan dengan masalah dan situasi itu malahan cuba lari daripada berhadapan dengan masalah tersebut. Anda harus ingat, masalah itu tidak akan selesai sampai bila-bila tanpa anda selesaikan, malah mungkin akan bertambah rumit dan kompleks sehingga mungkin suatu hari nanti akan menjadi tidak terkawal oleh kotak pemikiran anda.  Katakan, penulis berhadapan dengan masalah pinjaman bank, berhutang kredit kad dan sudah tidak membayar selama beberapa bulan. Penulis mempunyai 2 pilihan samada terus lari daripada pihak bank, atau membayar pinjaman dan hutang tersebut. Katakan penulis tidak mempunyai kewangan yang mencukupi menyebabkan hutang itu tertangguh berbulan-bulan. Adakah sudah berakhir hidup penulis atau cara untuk menyelesaikannya? Masih ada banyak cara andai penulis mengambil pendekatan untuk berbincang dengan yang lebih arif dan pakar untuk menyelesaikan masalah ini. Namun, jika penulis mengambil pendekatan untuk lari daripada bank dan masalah ini, sampai bila-bila bank akan terus mencari penulis dan kemungkinan akan mengisytiharkan muflis kepada penulis. Maka ketika itu keadaan akan menjadi semakin tidak terkawal. Mungkin akan mengundang kepada masalah-masalah lain seperti hubungan antara suami isteri, kekeluargaan, fokus kerjaya dan sebagainya.  Jadi konklusinya hadapi sahaja apa jua masalah yang anda tempuhi. Ingat! Lari daripada masalah adalah tindakan yang kurang cerdik. Belajarlah untuk menyukai apa jua perkara dalam kehidupan anda, samada ianya membawa masalah, ataupun tidak.

Perjalanan kerjaya atau karier seseorang individu bergantung kepada banyak faktor yang perlu dititikberatkan.  Namun perkara atau elemen yang paling penting adalah “MINDSET & BEHAVIOUR”, perkara paling utama yang perlu ada pada diri seseorang individu dalam mengejar matlamat dan impian dalam sesebuah kerjaya dan perjalanan hidup. Tanpa perkara penting ini, setiap perancangan mungkin akan terbantut di tengah jalan. Tetapan Minda dan tingkahlaku perlu sentiasa betul dalam memandu diri ke arah matlamat dan tujuan. Banyak perkara yang membantu tetapan minda dan tingkahlaku ini, antara tetapan minda yang perlu sentiasa dipatri adalah tetapan minda yang sentiasa berfikiran positif, sentiasa berkeyakinan, sentiasa mendisiplinkan diri dalam apa jua perkara, tepati masa, motivasi diri, keberanian, akhlak yang baik dan sebagainya.  Cuba renungi lirik lagu ini,

Jika kau fikirkan kau boleh,
Kau pasti boleh melakukan,
Jika kau fikirkan ragu-ragu usahamu tidak menentu,
Jika Kau fikirkan kekalahan,
Kau Hampiri kegagalan,
Jika Kaku fikirkan kemenangan,
Kau hampiri kejayaan
Engkaulah apa kau fikirkan,
Bergantung dalam pemikiran,
Berfikir boleh melakukan,
Fikirkan boleh,
Percaya apa kau lakukan,
Tabah apa kau usahakan,
Bertindak atas kemampuan,
Engkau boleh. (Nyanyian asal Allahyarham Sudirman Hj Arshad)Banyak intipati dan moral yang boleh diambil daripada lirik lagu ini. Bila sahaja apa jua perlawanan bermula, samada Perlawanan Badminton, Bola Sepak dan sebagainya pasti lagu ini akan kedengaran dan terpampang di dada-dada Televisyen hatta di rumah dan di merata tempat. Lagu ini amat menyuntik semangat dan keyakinan kerana pada pendapat penulis lagu ini bukan sahaja digarap dengan lirik yang menarik dan sesuai tetapi juga kekuatan penyanyinya sendiri yang berjaya membawa dan menghidupkan jiwa di dalam lagu ini. Pasti bila sahaja lagu ini dinyanyikan, semangat akan terpancar dan mula membakar di dalam diri. Ingin penulis kaitkan dengan perjalanan karier penulis sepanjang 3 tahun bermula 2009, dimana setelah bergraduat dalam bidang kejuruteraan mekanikal pengkhususan dalam petroleum, penulis diterima untuk bertugas sebagai seorang Jurutera Pemasangan Luar Pesisir Pantai. Di sinilah bermula karier penulis sebagai seorang Jurutera. Pada awal permulaan karier banyak dugaan dan cabaran yang terpaksa ditempuhi akibat kekurangan kemahiran Komunikasi dalam Bahasa Inggeris. Kekurangan ini yang menyebabkan kadangkala penulis berasa kurang motivasi ditambah perasaan segan dan malu yang tidak bertempat dalam bertanyakan soalan dan sebagainya. Namun, sedikit demi sedikit dengan keyakinan dan semangat yang sentiasa dipupuk, penulis berjaya membawa karier dari satu tahap ke satu tahap yang lebih baik. Ingatlah bahawa, tidak semestinya perkara yang kita tidak mahir atau tidak kita ketahui itu amat rumit untuk dipelajari, andai susah sekalipun ia masih boleh dituntut asalkan disertakan dengan kesabaran dan keazaman yang tinggi.

Selain daripada itu, pertama kali ketika bertugas di luar kawasan luar pantai (offshore), membuatkan penulis agak teruja dan seronok untuk menimba pengalaman baru. Bayangkan menaiki bot penumpang yang mampu memuatkan kira-kira 40 penumpang dalam satu masa, tetap akan memberikan pengalaman yang pasti diingati sampai bila-bila terutamanya ketika cuaca atau musim tengkujuh di mana ombak beralun dan arus deras. Pastinya semua di dalam bot akan terbuai-buai dihayun ombak sehingga akan memuntahkan apa sahaja yang ada dalam perut. Habis keluar isi perut penulis sehingga akhirnya tinggal angin sahaja yang melalui rongga pernafasan akibat tiada apa lagi yang boleh dikeluarkan. Sehingga ke tahap begitu sekali. Namun semua itu tidak mematahkan semangat penulis, perkara baru dalam hidup adalah ilmu dan pengalaman yang pasti  akan digunakan pada masa hadapan kelak.
Tanpa keberanian, sudah tentu tidak akan ada siapa yang berani menempuh ribut dan badai di tengah lautan demi memastikan kerja-kerja Pembangunan Lapangan minyak berjaya dilaksanakan. Dengan skop tugasan yang mencabar, sudah tentu sedikit sebanyak membuatkan semangat menjadi risau dan gundah gulana takut-takut tidak mampu menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan baik. Alhamdulillah, berbekalkan semangat berpasukan yang tinggi, walaupun cetek ilmu dan tidak tahu apa-apa pasal dunia minyak dan gas, penulis serba sedikit belajar secara tidak formal dengan jurutera-jurutera dan krew-krew kapal yang lebih pengalaman dan banyak ilmu di dalam bidang yang penulis ceburi. Memang mencabar tugasan di offshore kerana ia memerlukan pengorbanan yang tinggi, berpisah dengan insan dan keluarga tersayang, terpaksa mengorbankan hidup di alam daratan dan menghadap lautan sehari-hari, melakukan aktiviti yang sama setiap hari tanpa ada perkara lain yang boleh dilakukan kerana terhad di atas kapal pemasangan sahaja.

1 comment: