Total Pageviews

Thursday, January 31, 2013

TRAVELOG SEORANG JURUTERA: IBADAH


IBADAH: PENYERAHAN DIRI KEPADA ALLAH SWT

Bila bekerjaya, tidak semestinya tiada langsung istilah ibadah dalam kehidupan kita sehari-harian sebagai pekerja, majikan, tuan, pengurus, kerani dan sebagainya dalam kehidupan kerjaya kita. Siapa kata Pekerjaan itu bukan ibadah? Kerja juga adalah satu bentuk ibadah, tidak kira anda bekerja sebagai jurutera, doktor, peguam, pegawai kerajaan, kerani, pemandu, pekerja kilang hatta tukang kebun sekalipun itu semua adalah ibadah yang merupakan suruhan dan tuntutan Allah swt. Ini kerana pekerjaan juga adalah satu bentuk tanggungjawab dan peranan kita dalam menyumbang dari segi tenaga, idea, buah fikiran, masa dan sebagainya. Penulis ingin memetik satu kisah Imam Ghazali yang bertanyakan kepada anak-anak muridnya. Banyak yang ditanya, dan salah satu di antaranya adalah berkisarkan amanah.
“Wahai anak-anak muridku sekalian, apakah yang paling berat di dalam dunia ini?
Ada anak muridnya menjawab Gajah, Dinosaur, Gunung, bukit dan sebagainya. Imam Ghazali menjawab: Benar semua anak-anakku, kalian tidak salah sama sekali. Namun kalian harus sentiasa ingat, yang paling berat adalah amanah”.
Jika kita kaji dan selidiki maksud tersebut amanah ini bukan sahaja meliputi kepercayaan dalam menyimpan rahsia, aib, cerita orang dan sebagainya, namun juga tertumpu di dalam aspek pekerjaan yang juga merupakan satu bentuk ibadah. Bila digabungkan pekerjaan yang kita lakukan adalah amanah yang dipertanggungjawabkan oleh majikan kepada kita. Bukan mudah memikul amanah dan tanggungjawab sebagai pekerja dan tidak susah untuk kita menjaga andai kena dan betul cara-cara dan panduannya. Seorang pekerja yang amanah lebih disayangi dan disenangi oleh majikan dan rakan-rakan sekerja berbanding pekerja yang kurang menjaga amanah. Amanah di dalam konteks pekerjaan bukan hanya tertumpu kepada aspek rahsia syarikat, strategi pemasaran dan objektif syarikat, cara persaingan syarikat dan sebagainya, namun ia juga tertumpu kepada aspek-aspek individu itu sebagai seorang pekerja itu sendiri daripada segi aspek pengurusan masa, etika kerja, pergaulan antara rakan-rakan sekerja dan majikan, aspek tingkah laku dan keperibadian sebagai seorang pekerja dan sebagainya. Jika kita meneliti aspek-aspek tersebut seorang pekerja yang amanah tidak akan culas dalam membuat kerja, tidak akan mengular ketika dalam waktu kerja, tidak akan melakukan kerja lain di luar bidang yang ditugaskan oleh majikan dan syarikat kepadanya, dan sentiasa akan menjaga etika-etika dan tatasusila sebagai seorang pekerja. Jika diperincikan lagi, banyak lagi sub-aspek yang boleh dipertimbangkan dalam konteks amanah dalam pekerjaan seperti patuh undang-undang dan polisi syarikat, mematuhi segala arahan dan suruhan yang dipertanggungjawabkan, etika pemakaian korporat mengikut bidang kerja  dan sebagainya. Semua ini merupakan amanah yang patut dipikul sebagai seorang pekerja.
Apa pula amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita sebagai Hamba Allah swt yang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian seperti Firman Allah swt.
“Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian”

Sebagai hubung kait antara ibadah dan kerjaya, perkara yang menghubungkannya adalah kefahaman tentang amanah. Semua ini berkaitan antara kerjaya, ibadah dan amanah. Suka untuk saya perjelaskan di sini bahawa ibadah bukan hanya bermaksud anda beriktikaf sepanjang hari di masjid atau surau, sehingga meninggalkan pekerjaan anda yang anda buat sekarang. Bukan bermaksud tidak lengkap ibadah andai hanya menjalankan amanah. Apa yang anda lakukan sebagai memenuhi amanah orang lain akan membawa kepada penyerahan diri kepada Allah swt.
Sepertimana maksud ISLAM itu sendiri dari segi bahasa Islam bermaksud selamat dan sejahtera dan daripada segi syarak pula Islam bermaksud penyerahan diri dan jiwa kepada Allah swt. Dengan berasa selamat dan sejahtera dalam pekerjaan, anda sudah menepati ciri-ciri ibadah dalam pekerjaan. Anda beribadah kepada Allah dengan cara menyerahkan diri kepada Allah swt begitu juga penyerahan diri kepada pekerjaan yang dilakukan dengan usaha dan tawakal supaya Allah swt memudahkan apa sahaja pekerjaan yang kita lakukan.
Ingin penulis berkongsi berkenaan satu ibadah sunat yang mampu semua orang lakukan, iaitu Tahajjud.
ALLAH swt berfirman dalam Surah Al-Isra’: 79
“Dan pada sebahagian malam Solat Tahajjudlah sebagai (ibadah) tambahan bagimu, semoga Tuhan mengangkatmu ke tempat yang terpuji”

Ramai di kalangan umat Islam hanya mengambil sebahagian sunnah Rasulullah yang menjadi kepentingan individu sahaja, namun tidak mengira kemaslahatan umat seluruhnya. Andai nilaian sunnah adat hanya menjadi ukuran nilaian islam yang sebenar, sudah tentu sunnah ibadat akan luput ditelan zaman. Perlu difahami sunnah adat meliputi amalan pemakaian berjubah, berserban, berjanggut, amalan pemakanan, kehidupan seharian, aktiviti riadhah, poligami dan sebagainya. Namun nilaian sunnah yang lebih besar iaitu sunnah ibadah yang harus menjadi keutamaan dan matlamat kita dalam mengejar keredhaan Yang Maha Pencipta. Ada individu yang seboleh-boleh memperjuangkan hak-hak poligami bagi lelaki namun tidak pula menyentuh sunnah-sunnah yang lain. Hanya mengira aspek indvidu melayani kehendak nafsu sendiri tanpa mengira perkara pokok yang menjadi asas utama dalam pembentukan ibadah yang sempurna. Kita kata kita sayang dan cinta rasul, namun apa buktinya? Apa perjuangan kita dalam membalas cinta Rasulullah yang amat mencintai umatnya? Sehingga saat sebelum saqaratul maut menjelang tiba, baginda masih lagi menyebut “ummati, ummati, ummati”. Tanda cinta yang amat mendalam baginda terhadap umatnya. Namun kita sering berdusta, di bibir melafazkan kata cinta namun di hati pula menidakkan kata lafaz cinta.

“Dirimu terlalu sempurna
Akhlakmu yang sungguh mulia
Jasamu yang amat berharga
Menerangi Jalan syurga
Selalu aku yang terlupa
Selawat jarang terlaksana
Di bibir menyatakan cinta
Di hati pula berdusta “
(Petikan lagu Engkau Insan Sempurna oleh Hijjaz)
Adakah kita menyangka kita sudah cintakan Rasululah namun tidak mengamalkan sunnahnya? Mengatakan cinta kepada baginda namun masih lagi ingkar ajaran yang dibawa baginda? Cinta hanya pada bibir namun pelaksanaannya tiada. Umpama seseorang sedang ingin menyantap “Maggie” yang terhidang panas di hadapan mata, ditambah kala hujan yang turun mendinginkan suasana.  “Maggie” yang masih berasap di makan panas-panas amat sedap di kala itu, namun hanya merenung dan melihat lalu berkata dirinya “Aku nak makan Maggie”. Namun tidak disantapnya, lalu kembali berkata “ Aku nak makan Maggie” namun masih jua tidak disantapnya. “Aku nak makan maggie” kali ini dengan nada suara yang lebih mendayu dan lemak merdu, namun masih jua tidak disantapnya Maggie di hadapannya itu. Itulah perumpamaan yang cuba penulis berikan untuk menggambarkan tahap kecintaan kita kepada Rasulullah SAW namun masih tidak melaksanakan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Rasulullah sejarah hidupnya yang merupakan seorang pengembala kambing, amat amanah dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Ketika bertugas sebagai penjaga perniagaan isterinya Siti Khadijah binti Khuwailid dan mengikut Abu Talib, bapa saudaranya, adalah seorang yang amat amanah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan padanya.
Siapa yang tidak mengenali Muhammad, seorang yang amat dipercayai ketika itu. Amat benar tutur katanya, setiap kata-kata yang keluar dari mulut baginda pasti akan berbuahkan kejujuran dan keikhlasan dalam beramanah.  Sehinggakan Rasulullah yang ketika itu masih belum diangkat menjadi Rasul, dilantik untuk menyelesaikan isu masalah antara puak-puak kabilah dalam meletakkan kembali Hajarul Aswad ke tempatnya. Sehingga mereka sanggup memerangi antara satu sama lain dalam menyatakan hak mereka sebagai Kabilah yang layak untuk melakukan tugas tersebut. Ternyata kepercayaan yang diberikan kepada baginda dapat dibalas dengan kaedah jawapan yang sesuai dan tepat sehingga memuaskan hati semua kabilah tanpa langsung tiada rasa ketidak-puas hatian, dan seterusnya menyatukan kembalik antara puak-puak dan kabilah tersebut. Sehingga Rasulullah sangat mulia dengan gelaran “Al-amin” yang membawa maksud yang dipercayai. Jika kita fikirkan secara mendalam tentang hikmah perbuatan Rasulullah, ternyata Rasulullah beramanah dalam melakukan setiap pekerjaan yang dilakukan hatta tidak dibayar gaji sekalipun, namun demi membalas kepercayaan Rasulullah melaksanakan dengan pelaksanaan yang paling menyenangkan hati semua pihak. Bukan mudah untuk memikul amanah dan tanggungjawab yang besar, tambahan lagi amanah ini bukan sahaja melibatkan diri sendiri namun amanah yang melibatkan kemaslahatan ummat dan banyak pihak amatlah sukar untuk dijaga dan dilaksanakan. Ternyata Rasulullah adalah contoh ikutan terbaik sepanjang zaman seperti dalam Al-Quran.
“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik”.

Ada ulama’ jua menyebut, akhlak Rasulullah itu Al-Quran. Rasulullah itu ternyata bersifatkan dengan sifat-sifat Rasul yang empat iaitu, menyampaikan, benar, amanah, dan bijaksana. Rasulullah itu umpama bintang yang berseri cahaya di atas cahaya yang menerangi cakerawala, bersyukur kita dikurniakan insan sempurna yang termulia di kalangan para nabi dan rasul.

Penulis ingin mengambil contoh dalam konteks negara kita sendiri, sebagai sebuah negara Islam, semua orang beramanah dalam memastikan negara Islam Malaysia ini mengikut syariat dan landasan Islam yang betul. Bukan sahaja amanah memimpin negara ini terletak di atas bahu pemerintah dan pimpinan negara, kita seharusnya mengambil inisiatif sebagai rakyat dan penduduk warganegara Malaysia memastikan negara kita ini aman damai dan sentiasa di bawah pemerintahan yang adil dalam memajukan islam dan seluruhnya. Jika semua amanah ini dan tanggungjawab ini diserahkan kepada Pemerintah bulat-bulat, sudah tentu kita tidak akan dapat membentuk negara Islam yang membangun dan berkembang maju atas ketidaksedaran diri kita dalam mencari keberanian dan semangat dalam memikul amanah dalam menjaga negara.

Ambil sahaja konteks yang lebih kecil dari sudut kekeluargaan. Institusi kekeluargaan dipimpin oleh seorang ketua merangkap ayah dan suami, dibantu oleh isteri dan anak-anak. Tanpa kefahaman tentang amanah dan tanggungjawab dalam keluarga sudah pasti konsep kefahaman tentang amanah ini tidak mampu dikuasai oleh semua individu dalam keluarga. Maka akan timbullah pelbagai masalah yang pasti menggugat institusi kekeluargaan itu sendiri.  Semua individu dalam keluarga harus memainkan peranan dalam memastikan keluarga kita mampu dibentuk menjadi “usratussai’dah” dan mampu di sebut sebagai “Baiti Jannati” ataupun Rumahku Syurgaku. Ingin penulis katakan bahawa bila hati-hati individu dalam keluarga mampu terjalin erat, maka selamatlah dengan izin Allah institusi kekeluargaan dan akan bersinar selalu seperti bahtera yang melayari lautan dengan lancarnya. Suami sebagai ketua harus memainkan peranan penting dan isteri sebagai pembantu harus juga memberikan sokongan dan bantuan dalam mendidik keluarga itu menjadi seperti yang diharapkan. Andai lahir individu yang memahami konsep amanah dalam keluarga, seterusnya ia terapkan dalam kerjaya dan ibadah yang meluas lagi terus ke aspek kehidupan nescaya akan maju semua institusi-institusi yang wujud hasil penyatuan kelompok-kelompok individu dan pasti setiap matlamat dan impian dalam menghubungkan dunia kerjaya, ibadah dan amanah mampu dilaksanakan dengan baik.

Mengira kembali aspek kerjaya, di sebalik kejayaan seseorang individu dalam bidang kerjaya dan sebagainya, pasti akan ada sesuatu rahsia di sebalik kejayaan tersebut. Pasti ada dorongan, pengaruh atau pemangkin (catalyst) dalam merencanakan kejayaan itu. Kita harus percaya dan yakin bahawa semua kejayaan itu adalah milik Allah namun harus bersebab. Andai kuat asbab musababnya, pasti Allah kurniakan kejayaan di dalam setiap apa yang kita perjuangkan dalam kehidupan kita ini.
Firman Allah swt yang bermaksud:
“Dan mereka merancang, dan Allah juga merancang, ternyata Allah adalah sebaik-baik perancang”.

5 comments: